Sri Vaishnavisme

Maha Vishnu di Narayana Tirumala

Śri Vaiṣṇavisme ialah agama yang melahirkan falsafah Viśiṣṭādvaita Vedānta dan suatu sub-mazhab dalam Vaishnavisme yang berasal daripada Tamil Nadu, India. Menurut tradisi, agama ini telah diajar oleh Maha Vishnu kepada Devi Lakshmi. Devi kemudiannya, mengajar ilmu ini kepada Viṣvaksena. Ilmu ini kemudiannya diturunkan daripada guru ke guru bermula daripada Śațhagopa (Nammāḷvār). Gerakan Bhakti yang dimulakan oleh golongan Alvar telah banyak memperkayakan kesusasteraan yang bersifat bakti dan cinta pada Tuhan dalam bahasa Tamil.

Dalam pengenalan kepada Śri Bhāṣya (ulasan Brahma Sūtra), Śri Rāmānujacharya menyusur-galur falsafah Viśiṣṭādvaita dalam Upaniṣad-Upaniṣad.

Śri Vaiṣṇavisme juga merupakan salah satu agama Bhāgavata (Bhagavatamata) yang berasaskan kepada kitab-kitab seperti Nārāyaṇīya dalam Mahābhārata, Viṣnu Purāṇa, Bhāgavata dan Pāñcarātra.

Tiga Āḷvār pertama Poygai, Pūdam dan Pey Āḷvār hidup pada zaman yang sama. Ketiga-tiga Āḷvār ini sering menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, menangis, menyanyi dan menari. Oleh itu, masyarakat setempat menganggap mereka sebagai orang gila atau hantu. Karya Tiruvandādi dalam bahasa Tamil klasik yang mengandungi 300 ayat-ayat suci, dikatakan telah dihasilkan oleh mereka.

Gerakan Āḷvār lebih bersifat emosional dan mistikal. Para Āḷvār percaya bahawa nikmat duniawi adalah fana dan mengidamkan kebebasan melalui kesatuan dengan Maha Vishnu. Meskipun lagu-lagu suci mereka penuh dengan falsafah, mereka lebih banyak mengajar melalui teladan. Maka tugas meletakkan agama ini atas dasar falsafah yang kukuh menurut kitab-kitab suci dimulakan oleh golongan Ācārya selepas zaman Āḷvār.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search